Tuesday 23 April 2013

PENDEKATAN,KAEDAH.TEKNIK DAN STRATEGI PENGAJARAN PSV

Pendekatan
-Pendekatan biasanya dimaksudkan dengan arah atau hala yang kita ambil untuk menuju ke sesuatu sasaran. Pendekatan pengajaran pula merupakan haluan atau aspek yang digunakan untuk memulakan proses pengajaran sesuatu isi pelajaran, mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran atau sesuatu kemahiran. Pendekatan-pendekatan pengajaran boleh digolongkan mengikut cara pengelolaan pelajar, cara-cara fakta disampaikan, keaktifan pengajaran atau pelajar, pengajaran bahasa dan pengajaran mata pelajaran lain. Terdapat beberapa ciri-ciri pendekatan dalam pengajaran yang telah lama diamalkan dalam sistem pendidikan ini. Ciri-ciri tersebut ialah: 

1) Daripada konkrit kepada abstrak
2) Daripada mudah kepada kompleks
3)Daripada keseluruhan kepada bahagian
4) Daripada umum kepada spesifik (deduktif)
5) Daripada spesifik kepada umum (induktif)
6) Daripada diketahui kepada belum diketahui


Pendekatan-pendekatan pengajaran ini juga terbahagi kepada beberapa bahagian. Antaranya 
(i) Pendekatan pengajaran berpusatkan guru 
(ii) Pendekatan pengajaran berpusatkan pelajar 
(iii) Pendekatan pengajaran berpusatkan bahan 


-Setiap jenis pendekatan itu mempunyai kaedah pelaksanaannya yang tersendiri. Bagi pendekatan berpusatkan guru, mereka boleh menggunakan kaedah-kaedah seperti syarahan, demonstrasi, bercerita serta pengajaran secara kelas. Pendekatan ini tidak memberi peluang kepada palajar untuk mengambil bahagian dalam sesi P&P. Mereka hanya mendengar sahaja apa yang disampaikan oleh guru.

- Manakala pendekatan berpusatkan pelajar lebih menarik dan berkesan. Dalam pelaksanaannya, pelajar berpeluang untuk mengambil bahagian serta memberi pendapat dan idea berkenaan dengan topik yang dipelajari. Pendekatan ini lebih berkesan kerana pelajar dapat menyampaikan apa yang ada dalam fikiran mereka. Antara pendekatan yang boleh digunakan ialah pendekatan kumpulan, pendekatan individu, kaedah lawatan, kaedah penyelesaian masalah, kaedah projek, simulasi dan bermain. Pelaksanaan pendekatan ini membuatkan pelajar lebih seronok kerana mereka mengalami sendiri pengalaman terlibat dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran itu. 
-Bagi pendekatan pengajaran berpusatkan bahan pula memerlukan guru untuk lebih kreatif dalam mencari dan menggunakan bahan-bahan pengajaran untuk menarik minat pelajar. Antaranya ialah melalui penggunaan sudut atau ruang bilik darjah, bahan pengajaran guru dan bahan pembelajaran pelajar. Guru-guru boleh menggunakan bahan-bahan seperti video, gambar, kertas mahjung, dan sebagainya bagi membuka minda serta menarik perhatian pelajar dalam menyampaikan isi pelajaran. Melalui tayangan video contohnya, pelajar-pelajar akan berfikir mengenai isi kandungan yang cuba disampaikan oleh guru mereka pada hari berkenaan. 


Kaedah
-Kaedah dapat diinterprestasikan sebagai satu cara atau aturan,hukum atau prinsip. Sesuatu kaedah terdiri daripada sesuatu siri tindakan yang sistematik dan tersusun untuk mencapai sesuatu matlamat. Kaedah pengajaran pula terdiri daripada beberapa langkah atau kegiatan yang mempunyai urutan tertentu. Pengajaran yang dimaksudkan ialah segala aktiviti seseorang untuk menghasilkan perubahan tingkah laku dalam diri seseoran.Oleh demikian,kaedah-kaedah pengajaran ini terbahagi kepada beberapa jenis. Ianya meliputi: 

• Kaedah terus 
• Kaedah semulajadi
• Kaedah ajuk-hafaz 
• Kaedah linguistik 
• Kaedah oral-aural 
• Kaedah terjemahan 
• Kaedah psikologi 


Menurut Salleh Mohd Akib (1975), kaedah terus ialah kaedah pengajaran secara perbualan untuk memperkenalkan bahasa kedua kepada kanak-kanak. Menurut Kamarudin Hj. Husin (1988), kaedah ini mengutamakan prinsip mengajar berdasarkan psikologi pelajar. Kaedah ini disampaikan berdasarkan empat perkara asas iaitu: 
Perhubungan secara langsung antara perkataan dengan benda atau ayat dengan fikiran atau sebaliknya. 
Pengajaran harus dikaitkan dengan pengalaman-pengalaman sedia ada. 
Timbulkan perasaan ingin tahu kanak-kanak melalui soalan-soalan yang telah dirancangkan. 
Mengutamakan bahasa lisan, tidak mempelajari undang-undang tentang bahasa yang hendak dipelajari, mengutamakan sebutan yang betul, ulangan dan pengukuhan harus dibanyakkan, dan mempelajari sesuatu yang mudah sebelum sesuatu yang kompleks. 

Kaedah Semulajadi pula hampir sama dengan kaedah Terus. Pengajaran dimulakan dengan soalan-soalan yang berhubung dengan objek dan gambar. Perkataan-perkataan yang baru diterangkan dengan menggunakan perkataan-perkataan yang telah diketahui oleh murid. Terjemahan tidak langsung digunakan dalam kaedah ini. Manakala Kaedah Oral-Aural pula merupakan kaedah mendengar dan kemudiannya bertutur dengan menggunakan dialog untuk dihafaz dan diikuti secara ajukan. Latih tubi dan dialog dijalankan dalam cara yang realistic dengan memberi perhatian kepada intonasi yang betul. Seterusnya,Kaedah Linguistik yang membolehkan murid-murid menggunakan bahasa yang telah diketahuinya untuk mempelajari bahasa baru dari segi bunyi.


Teknik
Teknik pengajaran pula adalah kemahiran atau perkara-perkara khusus yang terdapat dalam sesuatu kaedah. Jika seseorang guru tidak dapat menguasai teknik-teknik yang terdapat dalam sesuatu kaedah, kemungkinan matlamat kaedah itu tidak akan berhasil. Terdapat pelbagai teknik yang boleh diamalkan oleh seoarang guru dalam sesi P&P. antaranya ialah:
Teknik perbincangan 
• Teknik brainstorming
• Teknik soal jawab 
• Teknik main peranan 
• Teknik bercerita

• Teknik tunjuk cara
• Teknik penyelesaian masalah
• Teknik latih tubi
• Teknik permainan bahasa


Teknik perbincangan
-Ianya berbentuk perbualan dan dilakukan dalam kalangan pelajar di bawah penyeliaan dan kawalan guru.

Teknik brainstorming
Teknik ini merupakan teknik yang berbentuk perbincangan yang mana pelajar digalakkan untuk berfikir secara kreatif dan aktif bagi menghuraikan pendapatnya.

Teknik soal jawab 
Teknik ini pula merupakan teknik yang kerap digunakan oleh guru. Ia mewujudkan interaksi antara guru dengan pelajar-pelajarnya. Teknik ini dilaksanakan dengan cara guru bertanyakan soalan dan pelajar akan menjawab soalan tersebut. Setiap soalan yang ditanya mempunyai aras kesukaran yang tertentu.

Tenik Main Peranan
-Bagi teknik main peranan pula, ianya melibatkan gambaran-gambaran pelajar terhadap sesuatu situasi atau keadaan dan melakonkannya tanpa sebarang bantuan skrip. Hal ini berlaku secara spontan yang mana pelajar-pelajar perlu bijak dalam memainkan peranan mereka semasa sesi ini berlangsung. 

Teknik Bercerita

-Teknik ini membawa maksud guru memilih cerita yang sesuai dengan pelajar dan isi pengajaran yang hendak disampaikan. Guru bercerita dalam keadaan yang selesa dan berikan penekanan kepada aspek-aspek bahasa yang hendak diajarkan.

 Teknik Tunjuk Cara
-Manakala teknik tunjuk cara sesuai digunakan terutama dalam proses pengajaran yang memerlukan pelajar bertutur dengan menggunakan ayat-ayat yang betul dan sempurna. Di samping menunjuk cara, pelajar-pelajar juga diminta untuk menerangkannya melalui bahasa yang baik. Sebelum pelajar menunjuk cara, guru perlulah menerangkan maksud tunjuk cara tersebut dan perkara-perkara yang harus dicakapkan.

Teknik Penyelesaian Masalah
-Seterusnya adalah teknik penyelesaian masalah di mana teknik ini dilaksanakan di bawah penyeliaan guru. Pelajar-pelajar diberi masalah dan cuba menyelesaikan masalah tersebut.

 Teknik Latih Tubi
-Teknik latih tubi pula merupakan pengulangan fakta-fakta yang telah dipelajari. Tujuannya adalah untuk mencapai taraf penguasaan kemahiran tersebut dan di samping untuk menjamin pengekalannya.

Teknik Permainan Bahasa
 -Teknik terakhir ialah teknik permainan bahasa iaitu guru membentuk satu situasi yang memerlukan pelajar menggunakan bahasa yang ada pada mereka untuk menyelesaikan tugas-tugas permainan yang diberi. 

Strategi
-Strategi boleh diibaratkan sebagai suatu susunan pendekatan-pendekatan dan kaedah-kaedah untuk mencapai sesuatu matlamat dengan menggunakan tenaga, masa serta kemudahan secara optimum.

S - SPECIFIC
M - MEASURABLE
A - ATTAINABLE
R - REALISTIC
T - TIMELY

SPECIFIC

 -Sesuatu pembelajaran yang diajar oleh guru haruslah mempunyai matlamat yang spesifik. Hal ini demikian kerana, guru yang profesional akan menyediakan bahan bantuan mengajar dengan rapi sebelum memulakan pengajaran supaya sesi pengajaran berjalan dengan lancar. Di samping itu, subjek yang diajar tidak lari daripada tajuk asal yang selaras dengan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan.

MEASURABLE

- Sesuatu pembelajaran itu haruslah mempunyai ukuran mengikut tahap. Guru perlu mengetahui bagaimana untuk menarik minat pelajar melalui pembelajaran itu. Jelasnya, seorang guru perlu mengajar subjek mengikut kebolehan dan tahap pelajar tersebut supaya pembelajaran tersebut dapat difahami oleh mereka.

ATTAINABLE 

-Sesuatu pembelajaran itu mestilah dapat dicapai oleh pelajar. Melalui pendekatan ,kaedah,teknik dan strategi yang digunakan oleh guru haruslah dapat dicapai pelajar spaya pelajar dapat memahami pelajaran itu. Satu masalah yang selalu dialami antara guru dan pelajar ialah guru mengejar silabus menyebabkan tidak semua pelajar dapat mencapai pelajaran yang diajar.

REALISTIC 

- Sesuatu pelajaran itu perlu relevan dengan pelajar seperti mengikut turutan dari yang umum kepada yang khusus, daripada mudah kepada kompleks, dan sebagainya. Tujuannya supaya pelajar dapat mengikuti subjek secara berperingkat dan memahami pelajaran itu. Pelajaran lebih mudah dimulakan dengan yang asas supaya pelajar tidak terus lompat subjek lain tanpa mengetahui asasnya.

TIMELY

- Sesuatu pelajaran itu harus ada masa yang cukup untuk menyampaikan pelajaran. Ini sangat berkaitan dengan cara penyampaian guru dan kaedah yang digunakan. Subjek yang terdapat dalam silabus tidak sama tahap antara bab, ada yang mudah dan ada yang sukar, tetapi peranan guru perlu tahu bagaimana dapat menyampaikan subjek mengikut masa yang ditetapkan. Justeru kaedah penyampaian dan pendekatan yang digunakan amat penting untuk menyampaikan subjek.

No comments:

Post a Comment